Rabu, 9 Februari 2011

Siri 1: Mulianya Pekerti Mu Ya Rasulullah

"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya. Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira.

Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum. Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda.

Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu. Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab itu saya habiskan semuanya.

"Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan dari orang bukan Islam pula. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa. Mengapa? Sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya ditewaskan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW adalah qudwah (teladan) buat seluruh makhluk di dunia ini. Saidatina Aisyah pernah berkata” Rasulullah SAW adalah Al Quran yang hidup..”

Ya Allah,berilah kami rezeki supaya dapat mengikut akhlak Rasulullah saw dari awal hingga akhir, zahir dan batin,perkataan dan amal solehnya dengan rahmatMu Ya Allah.. Wahai Tuhan Yang Paling Mengasihani daripada segala yang mengasihani..Aminn..

Begitulah mulianya akhlak Baginda saw.. kadang-kala diri sering terlepas pandang dalam perkara seperti ini.. menganggap mudah dan remeh dalam sesetengah perkara.. tetapi akhlak baginda saw begitu lembut dan halus kepada semua insan..apatah lagi mereka yang dianggap mad'u. Moga kita semua direzekikan untuk memilikki akhlak dan qudwah sebaik Rasulullah saw..InsyaAllah..

Khamis, 14 Oktober 2010

SIAPAKAH YANG SEBENAR-BENARNYA BERIMAN

Tajuk ini telah saya munaqasyahkan kepada jemaah masjid di Qaryah Tebuk Panchur. Bukan untuk saya membuka gelanggang bagi membandingkan iman saya dengan iman orang lain. Atau untuk melihat perbezaan iman antara seseorang dengan orang lain.

Tapi ia sebagai satu tanda ukur bagi seseorang muslim. Tanya diri kita masing-masing: benarkah kita ini benar-benar muslim yang telah beriman dengan keimanan yang sebenarnya? Jangan sekali-kali kita  menjawab soalan ini. Memang kita tak layak untuk menjawab soalan ini. Allah ada berfirman dalam al Quran yang melarang kita mengakui bahawa kita ini golongan yang telah beriman. Tetapi memadalah kita hanya mengakui bahawa kita ini seorang Islam dan berusaha untuk melaksanakan tuntutan keimanan itu dengan seikhlasnya.

Selasa, 17 Ogos 2010

Mengenali Pencipta Menunaikan PerintahNya



Alhamdulillah, semalam 7 Ramadhan 1431h, saya telah dijemput oleh Ajk Masjid Jame' Tebuk Panchur untuk mengimamkan sembahyang terawih dan witir. Saya mengucapkan terima kasih buat Ajk masjid tersebut di atas kesudian menjemput saya yang serba faqir ini.

Seusai solat witir, saya berkesempatan untuk menyampaikan sekelumit tazkirah buat santapan rohani sidang jemaah yang hadir, demikianlah juga buat diri saya ini.

Dalam tazkirah yang secara spontan itu, Allah telah mengilhamkan saya untuk mengutara dua ayat. Ayat pertama saya ambil dari surah al Baqarah ayat ke 21. Manakala ayat kedua pula daripada surah al Baqarah ayat 183.

Ayat ke 21 firman Allah yang bermaksud:
"Wahai manusia, sembahlah Allah yang telah menjadikan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa".

Ayat ini dimulakan dengan seruan "Wahai manusia" yang meliputi semua agama, etnik, bangsa, kaum dan sebagainya. Orang Islam patut perdengarkan terjemahan ayat ini kepada semua manusia, baik cina, india, murut, kadazan, iban dan sebagainya. Ayat ini adalah global iaitu mengajak semua manusia berfikir tentang penciptaan dirinya.

Mana mungkin manusia non Muslim diajak untuk bersembahyang menyembah Allah kalau sekiranya di akal dan hati mereka tidak memikirkan tentang kebesaran Allah melalui ciptaan-ciptaanNya.

Sewajarnya dicuit atau dicetuskan dahulu tentang fenomena kejadian alam yang hebat ini dalam misi mengenalkan manusia itu kepada Penciptanya, Allah. Apabila minda manusia ini dicuit, maka ia akan beroperasi secara automatik untuk memikirkan kandungan teks ayat yang kita bicarakan ini.

Manakala ayat 183 dalam surah yang sama, Allah berfirman dengan maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa".

Seruan ayat ini ditujukan kepada "orang-orang yang beriman". Secara langsung Allah menyebutkan arahanNya iaitu kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Apabila menyentuh mengenai ketuhanan maka seruannya adalah global "manusia". Manakala, apabila mengandungi kewajipan syariat, maka seruannya adalah "orang-orang yang beriman".

Tidak sukar untuk kita memahaminya kerana memanglah apabila kita menyertai sesuatu kumpulan atau organisasi, maka kita tertakluk kepada peraturan organisasi itu. Demikianlah orang-orang yang beriman tertakluk kepada kewajipan berpuasa, kerana mereka itu adalah kewajipan untuk taat kepada yang mereka yakini dan imani, Allah.

Kedua-dua ayat ini diakhiri dengan ayat "mudah-mudahan kamu bertaqwa". Ini bererti bahawa kewajipan yang dilaksanakan oleh orang-orang beriman hendaklah dengan mempunyai rasa pertalian, hubungannya dengan Allah. Sembahyangnya, puasanya, zakatnya bahkan seluruh kehidupannya adalah berhubungan dengan Tuhannya.

Masalahnya ada di kalangan hati-hati manusia yang beriman ini, cuai tentang hubungannya dengan Penciptanya sekalipun ia dalam melaksanakan perintah Tuhannya. Demikian senario puasa umat Islam di bulan Ramadhan. Sekalipun berpuasa tetapi auratnya tetap terdedah (engkar perintah Allah). Berpuasa tu puasa juga, mengumpat pun mengumpat juga. Berpuasa, puasa juga.. tapi nafsunya buas juga, matanya liar mencari chanel tv menggatal. Inilah senarionya umat Muhammad di akhir zaman yang berhadapan dengan kemodenan semasa yang memberi tekanan untuk memartabatkan TAQWA di dalam hati.

Walau bagaimananapun itu tidak boleh dijadikan alasan. Kerana sang Pencipta amat Mengetahui tahap kemampuan hambaNya untuk bersaing merebut ganjaran pahala yang dijanjikanNya. Wallahu a'lam. Selamat berpuasa.