Rabu, 14 Julai 2010

Insan Itu Apa?

Manusia dapat diertikan berbeza-beza menurut biologi, rohani, dan istilah kebudayaan, atau secara campuran. Secara biologi, manusia dikelaskan dari golongan mamalia yang dilengkapi otak berkemampuan tinggi.
Dalam hal kerohanian, mereka dijelaskan menggunakan konsep jiwa yang bervariasi di mana, dalam agama, dikaitkan dalam hubungannya dengan kekuatan ketuhanan atau makhluk hidup; dalam mitos, mereka juga seringkali dibandingkan dengan bangsa lain.

Kejadian manusia adalah terdiri daripada dua elimen penting iaitu
“Rohani” dan “Jasmani”. Kedua-dua elimen ini mempunyai keperluan masing-masing yang berbeza untuk menyuburkan makhluk insan sepanjang perjalanan hidupnya di atas muka bumi ini. Kedua-dua elimen ini berkemungkinan akan menempuhi kehidupannya yang ngeri, derita dan sengsara apabila keperluannya diabaikan oleh insan itu.
Dalam antropologi kebudayaan, mereka dijelaskan berdasarkan penggunaan bahasanya, organisasi mereka dalam masyarakat majmuk serta perkembangan teknologinya, dan terutama berdasarkan kemampuannya untuk membentuk kelompok dan lembaga untuk dokongan satu sama lain serta pertolongan.
Manusia mempunya dua jantina: lelaki dan perempuan.
Manusia dibezakan daripada haiwan dari ciri fizikalnya dengan kebolehan berjalan di atas 2 kaki, mempunyai dua anggota depan yang dinamakan sebagai tangan yang mampu melakukan aktviti kompleks dan sangat penting dalam kehidupan manusia. 2 kaki manusia cukup untuk digunakan sebagai imbangan dan membolehkan manusia mengaplikasikan 2 anggota unjuran yang lain dengan lebih efektif iaitu tangan.
Manusia dari segi Islam juga dikaitkan dengan maksud insan iaitu makhluk yang tidak sempurna. Ini bukan membawa maksud fizikal tetapi dari segi kerohanian dan tabiat ataupun budaya ataupun personaliti manusia, insan tidak akan sempurna.
 Walaupun begitu, Islam memberi petunjuk kepada manusia supaya mendekati kesempurnaan itu sendiri untuk keharmonian manusia sejagat dan juga kepuasan individu.
Manusia dari segi psikologinya merupakan haiwan yang bersosial. Cara bersosial berbagai-bagai, walaupun tidak disedari oleh kebanyakan manusia, kaedah sosial manusia sangat kompleks dan lebih maju dari pelbagai aspek dari haiwan yang paling terdekat kebijakannya dari manusia.
Sosial sangat perlu dan merupakan cara paling efektif untuk mendapatkan manfaat secara bersama di antara individu. Oleh yang demikian, manusia yang terkecuali daripada aktivit sosial amat sedikit ataupun mereka diklasifikasikan sebagai manusia abnormal ataupun manusia gila.

Jumaat, 9 Julai 2010

Suatu Sejarah Kelahiran

Tanggal 26 Mei 2010, suatu sejarah kelahiran seorang insan daripada jutaan insan yang lahir ke dunia ini. Hakikatnya ia hanyalah suatu persinggahan yang sementara. Masa kembalinya sudahpun ditentukan. Rezeki dan senang sengsara hidupnya juga telah di tentukan.

Kehadiran insan yang dilahirkan itu, dalam jasad yang kecil, comel dan montel itu, bukan sahaja menarik perhatian ibu bapa dan kaum keluarganya. Tetapi mereka yang melihatnya juga merasa teruja untuk mengusap, menimang dan mencium pipinya. Segala rasa kasih dan sayang tiba-tiba meresap ke dalam manusia di sekelilingnya. Entahlah mengapa...



Si kecil itu tak pandai beraksi, berlakon, menyanyi..apatah lagi berbicara yang boleh mencuit hati orang dewasa. Dia hanya tahu menangis, kencing dan berak sahaja...kadang-kadang sedikit tersenyum dengan telatah orang-orang di sekelilingnya. Itulah Rahmat Allah yang Maha Penyayang ke atas hamba-hambaNya.

Si Kecil ini tidak terlepas daripada menikmati Rahmat dari Penciptanya. Dibelai, disayangi, dibuai, dikucup ... semua manusia mengalami alam ini. Alam bayi seawal kemunculannya daripada dunia rahim kandungan ibunya.



Kini dia menjadi suatu amanah. Amanah buat kedua ibu bapanya untuk mengendalikannya sementara ia mencapai usia matangnya. Perjalanannya agak lama juga jika dihitung mengikut perhitung dunia. Namun terlalu cepat kalau dinilai melalui neraca Ilahi. Amanah ini wajib dijaga oleh si ibu dan ayahnya. Kalau tidak si kecil itu akan menuju ke arah kemusnahan hidupnya. Ibarat si ibu dan bapanya sudah merancang untuk memusnahkannya dalam diam-diam.


Semoga Allah jua Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya melindungi si kecil ini sehingga ke hujung usianya. Semoga ia menyedari saat-saat kelahirannya dan bersedia untuk saat-saat pertemuan dengan Penciptanya.

(Jutaan terima kasih buat Pn. Hajah Che Onah, Pn. Hajah Romlah, Pn. Hajah Azizah, Cg. Habibee, Cg. Norizan, Cg. Aminah, Cg. Noraini, Cg. Syabra Syatila, Ustz. Normala, Ustz. Rosnazira di atas kunjungan cikgu-cikgu semua ke rumah kami sempena kelahiran puteri bongsu kami).

Rabu, 7 Julai 2010

Kembara Insan Mengadap Tuhan

Mana mungkin sebagai manusia ia bisa mengadap dan berhadapan dengan Tuhannya. Menungkan..manusia itu apa..Tuhan itu apa? Hendak dibezakan, tentu jauh sekali, memang tak boleh dibanding bezakan pun. Tuhan itu Maha Pencipta, Sang Pencipta yang menciptakan insan. Mana mungkin untuk dibanding bezakan.

Tapi..Insan bernama Muhammad itu memang benar-benar telah menemui Penciptanya. Ia berbicara dengan Penciptanya. Ia menerima kurnia yang amat bernilai dari Penciptanya. bahkan ia sendiri telah mendatangkan bukti kepada segolongan manusia di sekelilingnya, bahawa ia memang telah menemui Penciptanya.

Yang tak mahu percaya itu, kenapa? Oo..ia berita luar biasa!! Mengapa pula kalau ianya luar biasa sekali pun. Itu bukankah kerja Tuhannya. Dia sendiri yang menyatakan bahawa ia mengembara menemui Tuhannya itu dengan izin Tuhannya. Allah yang menjemput dirinya. Bagaimana? Allah yang mengutuskan wakilnya untuk menjadi peneman atau penunjuk jalan. Allah yang menyedia kenderaan untuk ke sana. Muhammad itu memang tidak tahu jalan untuk mengembara ke sana. Muhammad tak tahu kenderaan apa yang perlu untuk ia tunggangi untuk ia ke sana.


Tapi..kenapa manusia begitu pantas untuk menolak pengakuannya? Mengapa tidak di renung apa telah di hujahkannya. Bukan Muhammad yang mahu pergi sendiri. Tapi Muhammad dijemput oleh Tuhannya yang sangat menyayanginya. Justeru itu dijemputnya Muhammad itu dengan sepenuh penghormatan oleh segala isi langit.

Yang menjemput itu Tuhannya, Tuhan bagi segala alam jagat ini. Pemandunya makhluk dari bangsa Malaikat yang mulia bernama Jibril a.s. Kenderaannya tiada dapat ditandingi oleh ciptaan jurutera moden kini. Hebat sekali, tiada perlu kepada belanja minyak yang bertong-tong. Lajunya tiada dapat diatasi oleh sebarang kereta lumba F1, bahkan jet yang termoden sekalipun. Namanya pun mengambarkan kehebatannya...itulah Buraq.

Pengembaraan ini amat jauh. Pengembaraan yang tak pernah di dahului oleh sesiapapun makhluk dunia ini. Tiada kompas yang boleh menunjukkan arah yang tepat untuk sana. Apatah lagi untuk menghitung anggaran kos perbelanjaannya. Bahkan, untuk apa dihitung semuanya itu...sekadar membazirkan masa sahaja.

Kalau Sang Pencipta itu izinkan, maka mudah sahaja untuk sampai. Jarak yang jauh itu bukanlah suatu masalah besar. Hanya masalahnya ialah diri insan itu sendiri. Mampukah insan itu menarik perhatian Penciptanya supaya menyayanginya, menyukainya lantas sudi untuk menjemput si insan itu kepangkuan Penciptanya.

Adakah insan sudah mencapai kelayakan yang perlu untuk kepangkuan Penciptanya di alam ghaib yang Maha Tinggi lagi Suci itu? Alam itu tak sama dengan alam ini. Alam itu begitu syahdu, tenang dan damai sekali. Alam itu jauh bersih, suci, dan kilatnya dari alam ini. Alam itu begitu besar daripada alam galaksi ini..entahlah berapa besarnya. Dia sahaja yang Maha tahu.


Besarnya alam itu mengambarkan besarnya kekuasaanNya. Apatahlah sangat dibandingkan dengan bumi yang begitu jauh kecilnya. Kecilnya bumi ibarat kecilnya kuman di mata manusia. Kalau demikianlah kerdilnya bumi, maka gambarkanlah betapa halusnya manusia.

Oleh yang demikian maka bersujud dan bersimpuhlah Muhammad itu dengan penuh kesopanan dipangkuan Tuhannya. Menyedari ia betapa Agungnya Tuhannya itu, betapa besar kerajaan yang dimilikiNya. Lemah longlai segala kuasa dan kerajaan untuk menandingiNya.

"Wahai diri-diri yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan Ia redho kepada mu dan engkau redho kepadaNya".