Rabu, 7 Julai 2010

Kembara Insan Mengadap Tuhan

Mana mungkin sebagai manusia ia bisa mengadap dan berhadapan dengan Tuhannya. Menungkan..manusia itu apa..Tuhan itu apa? Hendak dibezakan, tentu jauh sekali, memang tak boleh dibanding bezakan pun. Tuhan itu Maha Pencipta, Sang Pencipta yang menciptakan insan. Mana mungkin untuk dibanding bezakan.

Tapi..Insan bernama Muhammad itu memang benar-benar telah menemui Penciptanya. Ia berbicara dengan Penciptanya. Ia menerima kurnia yang amat bernilai dari Penciptanya. bahkan ia sendiri telah mendatangkan bukti kepada segolongan manusia di sekelilingnya, bahawa ia memang telah menemui Penciptanya.

Yang tak mahu percaya itu, kenapa? Oo..ia berita luar biasa!! Mengapa pula kalau ianya luar biasa sekali pun. Itu bukankah kerja Tuhannya. Dia sendiri yang menyatakan bahawa ia mengembara menemui Tuhannya itu dengan izin Tuhannya. Allah yang menjemput dirinya. Bagaimana? Allah yang mengutuskan wakilnya untuk menjadi peneman atau penunjuk jalan. Allah yang menyedia kenderaan untuk ke sana. Muhammad itu memang tidak tahu jalan untuk mengembara ke sana. Muhammad tak tahu kenderaan apa yang perlu untuk ia tunggangi untuk ia ke sana.


Tapi..kenapa manusia begitu pantas untuk menolak pengakuannya? Mengapa tidak di renung apa telah di hujahkannya. Bukan Muhammad yang mahu pergi sendiri. Tapi Muhammad dijemput oleh Tuhannya yang sangat menyayanginya. Justeru itu dijemputnya Muhammad itu dengan sepenuh penghormatan oleh segala isi langit.

Yang menjemput itu Tuhannya, Tuhan bagi segala alam jagat ini. Pemandunya makhluk dari bangsa Malaikat yang mulia bernama Jibril a.s. Kenderaannya tiada dapat ditandingi oleh ciptaan jurutera moden kini. Hebat sekali, tiada perlu kepada belanja minyak yang bertong-tong. Lajunya tiada dapat diatasi oleh sebarang kereta lumba F1, bahkan jet yang termoden sekalipun. Namanya pun mengambarkan kehebatannya...itulah Buraq.

Pengembaraan ini amat jauh. Pengembaraan yang tak pernah di dahului oleh sesiapapun makhluk dunia ini. Tiada kompas yang boleh menunjukkan arah yang tepat untuk sana. Apatah lagi untuk menghitung anggaran kos perbelanjaannya. Bahkan, untuk apa dihitung semuanya itu...sekadar membazirkan masa sahaja.

Kalau Sang Pencipta itu izinkan, maka mudah sahaja untuk sampai. Jarak yang jauh itu bukanlah suatu masalah besar. Hanya masalahnya ialah diri insan itu sendiri. Mampukah insan itu menarik perhatian Penciptanya supaya menyayanginya, menyukainya lantas sudi untuk menjemput si insan itu kepangkuan Penciptanya.

Adakah insan sudah mencapai kelayakan yang perlu untuk kepangkuan Penciptanya di alam ghaib yang Maha Tinggi lagi Suci itu? Alam itu tak sama dengan alam ini. Alam itu begitu syahdu, tenang dan damai sekali. Alam itu jauh bersih, suci, dan kilatnya dari alam ini. Alam itu begitu besar daripada alam galaksi ini..entahlah berapa besarnya. Dia sahaja yang Maha tahu.


Besarnya alam itu mengambarkan besarnya kekuasaanNya. Apatahlah sangat dibandingkan dengan bumi yang begitu jauh kecilnya. Kecilnya bumi ibarat kecilnya kuman di mata manusia. Kalau demikianlah kerdilnya bumi, maka gambarkanlah betapa halusnya manusia.

Oleh yang demikian maka bersujud dan bersimpuhlah Muhammad itu dengan penuh kesopanan dipangkuan Tuhannya. Menyedari ia betapa Agungnya Tuhannya itu, betapa besar kerajaan yang dimilikiNya. Lemah longlai segala kuasa dan kerajaan untuk menandingiNya.

"Wahai diri-diri yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan Ia redho kepada mu dan engkau redho kepadaNya".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan