Rabu, 24 Oktober 2012

Ibadah Korban Berdasarkan Hadis

Banyak hadis yang membicarakan mengenai ibadah korban, antaranya hadis daripada A’isyah, Rasulullah bersabda; “Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)

Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?”

Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu Ibrahim.”

Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?”

Baginda menjawab : “ Tiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” 
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” 
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Berpandukan kepada amalan korban yang dilakukan oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya, keluarga dan umatnya, maka para ulamak berpendapat adalah memadai jika seseorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.

Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih korban dengan dua ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’ dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibas tersebut.

Jumaat, 19 Oktober 2012

Dia Menangis Ketika Di Mahsyar..

Daripada Abbas r.a., Rasulullah bersabda: “Orang yang pertama dibangkitkan dari kubur di hari kiamat ialah MUHAMMAD S.A.W. Jibril a.s akan datang kepadanya membawa seekor Buraq. Israfil datang membawa bendera dan mahkota. Izrail datang membawa pakaian-pakaian syurga. Israfil bersuara: “Wahai roh yang baik! kembalilah ke tubuh yang baik. 

Maka, kubur terbelah dua.Pada seruan yang kedua pula,kubur mula terbongkar. Pada seruan yang ketiga,ketika Rasulullah S.A.W berdiri, baginda S.A.W telah membuang tanah di atas kepala dan janggut baginda S.A.W. Baginda S.A.W melihat ke kanan dan ke kiri. Baginda S.A.W dapati, tiada lagi bangunan. Baginda S.A.W menangis sehingga mengalir air matanya ke pipi. 

Baginda S.A.W bersabda: “kekasihku Jibril! Gembirakanlah aku!” Jibril as berkata:”Apakah yang kamu lihat di hadapanmu?” Baginda S.A.W bersabda:”Bukan seperti itu pertanyaanku.” Jibril as berkata: “Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang terpacak di atasmu?” Baginda S.A.W bersabda: “Aku bertanya kepadamu akan umatku. Di mana perjanjian mereka?” Baginda S.A.W bersabda: “Nescaya akan, kuatlah pertolongan pada hari ini. Aku akan mensyafaatkan umatku.” Jibril as menyeru: “Wahai sekalian makhluk, datanglah kamu semua ke tempat perhimpunan yang telah disediakan oleh Allah Taala.” Umat-umat datang di dalam keadaan satu-satu kumpulan. 

 Setiap kali Nabi Muhammad S.A.W berjumpa satu umat, baginda S.A.W akan bertanya: “Di mana umatku?” Jibril as berkata:”Wahai Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir.” Apabila Nabi Isa as datang, Jibril as menyeru: Tempatmu!” Maka Nabi Isa as dan Jibril as menangis. Nabi Muhammad S.A.W berkata: “Mengapa kamu berdua menangis.” Jibril as berkata: “Bagaimana keadaan umatmu Muhammad?” Nabi Muhammad S.A.W bertanya: “Di mana umatku?” Jibril as berkata: “Mereka semua telah datang. Mereka berjalan lambat dan perlahan. “Apabila mendengar cerita demikian, Nabi Muhammad S.A.W menangis lalu bertanya: “Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?” Jibril as berkata: “Lihatlah mereka wahai Muhammad S.A.W!”

Nabi Muhammad S.A.W bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru: “Wahai Muhammad!” Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Wahai umatku.”Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis. Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: “Di mana umat Nabi Muhammad S.A.W?” Jibril as berkata: “Mereka adalah sebaik umat.” Allah Taala berfirman: “Wahai Jibril! katakanlah kepada kekasihku, Muhammad bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanku.” Jibril as kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: “Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada Allah Taala.” 

Nabi Muhammad S.A.W berpaling ke arah umatnya lalu berkata: “Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah Taala.” Allah Taala berfirman: ” Hari ini, kami akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ini, Aku akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu. Suara jeritan dan tangisan semakin kuat. 

Nabi Muhammad S.A.W menyeru: “Tuhanku…Penguasaku Penghuluku…! Aku tidak meminta untuk diriku. Sesungguhnya aku meminta untuk umatku dariMu!” Ketika itu juga, neraka Jahanam berseru: ” Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?” Neraka pula berseru: ” Wahai Tuhanku…Penguasaku dan Penghuluku!Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari seksaannya! Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya mereka adalah umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan.” 

Nabi Muhammad S.A.W lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari pipinya. Sekali, baginda S.A.W sujud di hadapan Arsy Allah S.W.T dan sekali lagi, baginda S.A.W rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya. Para Nabi melihat keluh dan tangisannya. Mereka berkata: “Maha Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan oleh Allah Taala ini begitu mengambil berat, hal keadaan umatnya. Fatimah ra. bertanya: “Di mana aku hendak mendapatkanmu di hari kiamat nanti, wahai bapaku?”Baginda S.A.W menjawab: “kamu akan menjumpaiku di sebuah telaga ketika aku sedang memberi minum umatku.”

 Tatkala umat Nabi Muhammad S.A.W sedang mencari mimbar Nabi Muhammad S.A.W untuk mendapatkan syafaat pada hari kiamat, Mariam, Asiah, Khadijah dan Fatimah Az-Zahra sedang duduk. Ketika Mariam melihat umat Nabi Muhammad S.A.W dia berkata: Ini umat Nabi Muhammad S.A.W. Mereka telah sesat dari Nabi mereka. “Suara Mariam, telah didengari oleh Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Adam as berkata kepada Nabi Muhammad S.A.W:”Ini umatmu, wahai Muhammad! Mereka berkeliling mencarimu untuk meminta syafaat kepada Allah Taala.” 

Nabi Muhammad S.A.W menjerit dari atas mimbar lalu bersabda: “Marilah kepadaku, wahai umatku!Wahai sesiapa yang beriman dan tidak melihatku. Aku tidak pernah lari dari kamu melainkan aku sentiasa memohon kepada Allah Taala untukmu!”Umat Nabi Muhammad S.A.W berkumpul di sisinya. Ketika di atas Sirat, Nabi Muhammad S.A.W bersabda kepada Malaikat Malik: “Wahai Malik! Dengan kebenaran Allah Taala ke atasmu, palingkanlah wajahmu dari umatku sehingga mereka dapat melepasi.” Jika tidak, hati mereka akan gementar apabila melihatmu.” 

Nabi Muhammad S.A.W berhenti di atas Sirat. Setiap kali baginda S.A.W melihat seorang dari umatnya bergayut di atas Sirat, baginda S.A.W akan menarik tangannya dan membangunkan dia kembali. Nabi Muhammad S.A.W berkata: “Tuhan! Selamatkan mereka! Tuhan! Selamatkan mereka!

Begitu Sayangnya Nabi kepada Kita…Tetapi Kita??

Selasa, 16 Oktober 2012

Seandainya Kita Berada Di Saat-saat Itu..

Ali bin Abi Talib r.a. berkata: "Setelah turun Surah Idza ja'anashrullahi wal fath, baginda Rasulullah SAW ketika itu sedang sakit, dalam sakit itu baginda Rasulullah SAW keluar dengan kepala yang diikat iaitu pada hari Khamis, beliau memasuki masjid lalu naik ke atas mimbar dan beliau duduk di atas mimbar.

Muka baginda Rasulullah SAW yang pucat dan dengan mata yang mengalirkan air mata, baginda Rasulullah SAW pun memanggil Bilal bin Rabah dan menyuruh Bilal berseru di Madinah bagi mengumpulkan orang ramai bagi mendengar wasiat baginda Rasulullah SAW yang terakhir.

Apabila Bilal melaksanakan seperti yang diperintahkan oleh baginda SAW, maka berkumpul lah semua penduduk Kota Makkah yang terdiri dari budak-budak, orang dewasa lelaki dan perempuan. Kesemua mereka keluar dengan terbuka dan begitu juga dengan pasar menjadi kosong. Bersesaklah masjid sehingga penuh. Kemudian baginda Rasulullah SAW berkata kepada para jemaah: "Berilah peluang kepada orang-orang yang di belakang supaya masuk ke dalam."

     Setelah itu baginda Rasulullah SAW pun bangun berdiri sambil menangis beliau mengucap: "انا لله وانا اليه راجعون." Baginda Rasulullah SAW bersyukur kepada Allah SWT sebagaimana lazimnya dan membaca selawat utk semua nabi dan diri baginda sendiri.

     Selepas itu baginda SAW pun bersabda : "Sesungguhnya aku Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim dari bangsa Arab Makkah dan tiada nabi sesudah aku, wahai semua manusia dengarlah bahawasanya diriku telah diberitakan akan mati, dan telah terlalu dekat akan meninggalkan dunia ini, dan aku juga telah rindu kepada Tuhanku, dan sedihnya aku meninggalkan umatku. Apakah yang akan mereka katakan pula sepeninggalanku, Ya Allah selamatkan,selamatkan."

     Sabda baginda Rasulullah SAW : "Wahai sekalian manusia dengarlah wasiat terakhirku kepada kamu semua dan ingat-ingatlah serta sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir kerana ini adalah wasiatku yang terakhir. Wahai manusia, Allah SWT telah menjelaskan kepada kamu semua dalam kitab al-Quran yang diturunkannya tentang yang halal dan yang haram, yang harus kamu semua lakukan dan yang harus kamu semua tinggalkan, oleh itu hendaklah kamu semua gunakan yang halal dan tinggalkan yang sama sekali haram dan percayalah pada yang musyabih dan lakukalah yang muhkam (tegas) dan jadikan ia sebagai peringatanmu yang berupa contoh-contoh itu."

     Setelah itu Rasulullah SAW memandang ke langit sambil berkata : "Ya Allah, sesungguhnya aku telah menyampaikan maka saksikanlah."

     Bersabda Rasulullah SAW lagi : "Wahai manusia awaslah kamu dari hawa nafsu yang sesat yang menyesatkan yang jauh dari tuntutan rahmat Allah SWT dan syurga bahkan ianya dekat kepada neraka. Oleh itu hendaklah kamu semua menjaga jama'ah (kumpulan) dan hendaklah istiqamah (tetap jujur dan lurus) kerana ini akan mendekatkan diri kepada Allah dan syurga dan yang menjauhkan dari api neraka. Sabda baginda SAW lagi : "Ya Allah, aku telah menyampaikan. Wahai manusia, takutlah kamu kepada Allah, takutlah kamu kepada Allah dalam menjaga agama dan amanat yang telah diamanatkan kepada kamu. Takutlah kepada Allah. Takutlah kepada Allah dalam memelihara hamba-hambamu, hendaklah kamu memberi mereka makan dari apa yang kamu makan, begitu juga dengan pakaian, hendaklah kamu memberi mereka pakaian dari apa yang kamu pakai dan janganlah kamu memaksa mereka melakukan sesuatuyang mereka tidak kuat untuk melakukan, kerana mereka itu juga dijadikan dari daging dan darah, yakni makhluk yang sama dengan kamu. Dan ingatlah mereka yang aniaya pada mereka (hamba-hambamu) maka akulah lawannya pada hari Kiamat nanti dan Allah SAW hakimnya."

     Baginda SAW menyambung lagi : "Takutlah kamu kepada kepada Allah dalam memelihara isteri, tepatilah mahar yang telah kamu janjikan pada mereka dan jangan menganiaya mereka, nescaya kamu akan diharamkan dari hasanat-hasanatmu pada hari Kiamat. Ingatlah saya telah menyampaikan. Wahai manusia hendaklah kamu menjaga dirimu dann keluargamu dari api neraka, dan hendaklah kamu mengajar mereka akhlak sopan santun, sebab mereka itu adalah bagai orang tawananmu dan amanat. Ingatlah saya telah menyampaikan. Wahai manusia patuhlah pada pemerintahmu dan jangan menentang mereka meskipun dari keturunan Habasyi yang terpotong hidungnya, sebab yang patuh pada amir itu beerti taat kepadaku, dan sesiapa yang taat kepadaku beerti taat kepada Allah, dan sesiapa yang menentang mereka beerti menentang aku, dan mereka yang menentang aku beerti maksiat kepada Allah. Ingatlah jangan keluar dari mereka, dan jangan memutuskan janji-janjimu pada mereka, ingatlah saya telah menyampaikan."

     Rasulullah SAW menyambung lagi : "Wahai manusia, hendaklah kamu cinta kepada keluargaku, ahli-ahli Qur'an dan para ulama-ulamamu, jangan sekali-kali kamu membenci atau hasad dengki pada mereka, jangan kamu menghina mereka, ingatlah sesiapa yang cinta pada mereka beerti cinta kepadaku dan sesiapa cinta kepadaku, maka Allah cinta kepadanya, dan sesiapa yang membenci pada mereka bererti membenci padaku, dan sesiapa yang benci padaku maka benci pada Allah. Ingatlah saya telah menyampaikan. Wahai manusia jagalah solat lima waktu dengan menyempurnakan wudhunya dan menyempurnakan ruku', sujudnya. Wahai manusia keluarkanlah zakat hartamu, ingatlah sesiapa yang tidak mahu mengeluarkan zakat maka tidak dikira (anggap) solatnya, dan siapa yang tidak dikira (anggap) solatnya, maka dia tidak beragama, dan tidak dikira puasa dan hajinya dan juga jihadnya. Ya Allah saya telah menyampaikan."

     Sabda Rasulullah SAW lagi : Wahai manusia sesungguhnya Allah SWT telah mewajibkan haji keatas orang yang berkuasa perjalanannya dan sesiapa yang tidak mahu melaksanakannya maka bolehlah dia pilih apakah dia akan mati seperti Yahudi atau Nasrani atau Majusi kecuali yang uzur kerana penyakit atau kerana raja yang zalim. Ingatlah bahawa mereka tidak akan mendapat syafaatku dan tidak akan minum dari telagaku. Ingatlah sayan telah menyampaikan. Wahai manusia sesungguhnya Allah SWT akan mengumpulkan kamu semua pada hari Kiamat disuatu lapangan dalam kedudukan yang sangat berat, mengerikan, pada hari yang tidak berguna harta atau anak buah, kecuali orang yang menghadap kepada Allah dengan hati yang suci bersih dari syirik, ingatlah saya telah menyampaikan."

     Rasulullah SAW bersabda lagi : "Wahai manusia, jagalah lidah kamu, keluarkan airmata kamu, tundukkan hatimu dan letihkanlah badanmu serta berjihadlah melawan musuhmu, makmurkanlah masjidmu dan ikhlaskan imanmu. Nasihatlah teman-temanmu, berbuatlah kebaikan untuk dirimu dan jagalah kemaluanmu, bersedekahlah dari hartamu, jangan hasut-menghasut nescaya akan hilang hasanatmu (pahala), jangan ghibah (mengumpat) nescaya binasa kamu. Ingatlah saya telah menyampaikan. Wahai manusia berusahalah kamu dalam memerdekakan budak-budakmu (hamba-hamba), dan berbuatlah kebaikan untuk kekuranganmu dan hajatmu. Wahai manusia jangan menganiaya, sebab Allah sendiri yang akan menuntut terhadap siapa yang menganiaya, dan kamu juga yang akan menanggung perhitunganmu dan kepada Allah kamu akan kembali, Allah tidak rela jika kamu melakukan maksiat. Wahai manusia sesungguhnya sesiapa yang berbuat kebaikan maka untungnya itu adalah untuknya sendiri, dan sekiranya sesiapa melakukan kejahatan maka kejahatan itu akan ditanggungnya sendiri dan Allah tidak akan menganiaya pada hamba-hambaNya, oleh itu jagalah dirimu dan hari dimana kamu dihadapkan kepada Allah, dimana setiap orang akan dibalas atas segala amal usahanya dan mereka tidak akan dianiaya.

     Akhir sekali baginda Rasulullah SAW bersabda : "Wahai manusia sesungguhnya aku akan menghadap Allah SWT dan aku telah diberitahu akan kedatangan kematianku, maka aku serahkan kamu semua kepada Allah iaitu agama dan amanatmu. Wassalamu alaikum warah matullahi wabarakatuh."

     Setelah selesai sabdaan baginda maka baginda SAW pun turun dari mimbar dan terus masuk kedalam rumah dan tidak keluar lagi selepas itu.

Wallahu A'lam

(Di adaptasi dari penulis Salman Al-Farisi)