Selasa, 17 Ogos 2010

Mengenali Pencipta Menunaikan PerintahNya



Alhamdulillah, semalam 7 Ramadhan 1431h, saya telah dijemput oleh Ajk Masjid Jame' Tebuk Panchur untuk mengimamkan sembahyang terawih dan witir. Saya mengucapkan terima kasih buat Ajk masjid tersebut di atas kesudian menjemput saya yang serba faqir ini.

Seusai solat witir, saya berkesempatan untuk menyampaikan sekelumit tazkirah buat santapan rohani sidang jemaah yang hadir, demikianlah juga buat diri saya ini.

Dalam tazkirah yang secara spontan itu, Allah telah mengilhamkan saya untuk mengutara dua ayat. Ayat pertama saya ambil dari surah al Baqarah ayat ke 21. Manakala ayat kedua pula daripada surah al Baqarah ayat 183.

Ayat ke 21 firman Allah yang bermaksud:
"Wahai manusia, sembahlah Allah yang telah menjadikan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa".

Ayat ini dimulakan dengan seruan "Wahai manusia" yang meliputi semua agama, etnik, bangsa, kaum dan sebagainya. Orang Islam patut perdengarkan terjemahan ayat ini kepada semua manusia, baik cina, india, murut, kadazan, iban dan sebagainya. Ayat ini adalah global iaitu mengajak semua manusia berfikir tentang penciptaan dirinya.

Mana mungkin manusia non Muslim diajak untuk bersembahyang menyembah Allah kalau sekiranya di akal dan hati mereka tidak memikirkan tentang kebesaran Allah melalui ciptaan-ciptaanNya.

Sewajarnya dicuit atau dicetuskan dahulu tentang fenomena kejadian alam yang hebat ini dalam misi mengenalkan manusia itu kepada Penciptanya, Allah. Apabila minda manusia ini dicuit, maka ia akan beroperasi secara automatik untuk memikirkan kandungan teks ayat yang kita bicarakan ini.

Manakala ayat 183 dalam surah yang sama, Allah berfirman dengan maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa".

Seruan ayat ini ditujukan kepada "orang-orang yang beriman". Secara langsung Allah menyebutkan arahanNya iaitu kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Apabila menyentuh mengenai ketuhanan maka seruannya adalah global "manusia". Manakala, apabila mengandungi kewajipan syariat, maka seruannya adalah "orang-orang yang beriman".

Tidak sukar untuk kita memahaminya kerana memanglah apabila kita menyertai sesuatu kumpulan atau organisasi, maka kita tertakluk kepada peraturan organisasi itu. Demikianlah orang-orang yang beriman tertakluk kepada kewajipan berpuasa, kerana mereka itu adalah kewajipan untuk taat kepada yang mereka yakini dan imani, Allah.

Kedua-dua ayat ini diakhiri dengan ayat "mudah-mudahan kamu bertaqwa". Ini bererti bahawa kewajipan yang dilaksanakan oleh orang-orang beriman hendaklah dengan mempunyai rasa pertalian, hubungannya dengan Allah. Sembahyangnya, puasanya, zakatnya bahkan seluruh kehidupannya adalah berhubungan dengan Tuhannya.

Masalahnya ada di kalangan hati-hati manusia yang beriman ini, cuai tentang hubungannya dengan Penciptanya sekalipun ia dalam melaksanakan perintah Tuhannya. Demikian senario puasa umat Islam di bulan Ramadhan. Sekalipun berpuasa tetapi auratnya tetap terdedah (engkar perintah Allah). Berpuasa tu puasa juga, mengumpat pun mengumpat juga. Berpuasa, puasa juga.. tapi nafsunya buas juga, matanya liar mencari chanel tv menggatal. Inilah senarionya umat Muhammad di akhir zaman yang berhadapan dengan kemodenan semasa yang memberi tekanan untuk memartabatkan TAQWA di dalam hati.

Walau bagaimananapun itu tidak boleh dijadikan alasan. Kerana sang Pencipta amat Mengetahui tahap kemampuan hambaNya untuk bersaing merebut ganjaran pahala yang dijanjikanNya. Wallahu a'lam. Selamat berpuasa.