Jumaat, 9 Julai 2010

Suatu Sejarah Kelahiran

Tanggal 26 Mei 2010, suatu sejarah kelahiran seorang insan daripada jutaan insan yang lahir ke dunia ini. Hakikatnya ia hanyalah suatu persinggahan yang sementara. Masa kembalinya sudahpun ditentukan. Rezeki dan senang sengsara hidupnya juga telah di tentukan.

Kehadiran insan yang dilahirkan itu, dalam jasad yang kecil, comel dan montel itu, bukan sahaja menarik perhatian ibu bapa dan kaum keluarganya. Tetapi mereka yang melihatnya juga merasa teruja untuk mengusap, menimang dan mencium pipinya. Segala rasa kasih dan sayang tiba-tiba meresap ke dalam manusia di sekelilingnya. Entahlah mengapa...



Si kecil itu tak pandai beraksi, berlakon, menyanyi..apatah lagi berbicara yang boleh mencuit hati orang dewasa. Dia hanya tahu menangis, kencing dan berak sahaja...kadang-kadang sedikit tersenyum dengan telatah orang-orang di sekelilingnya. Itulah Rahmat Allah yang Maha Penyayang ke atas hamba-hambaNya.

Si Kecil ini tidak terlepas daripada menikmati Rahmat dari Penciptanya. Dibelai, disayangi, dibuai, dikucup ... semua manusia mengalami alam ini. Alam bayi seawal kemunculannya daripada dunia rahim kandungan ibunya.



Kini dia menjadi suatu amanah. Amanah buat kedua ibu bapanya untuk mengendalikannya sementara ia mencapai usia matangnya. Perjalanannya agak lama juga jika dihitung mengikut perhitung dunia. Namun terlalu cepat kalau dinilai melalui neraca Ilahi. Amanah ini wajib dijaga oleh si ibu dan ayahnya. Kalau tidak si kecil itu akan menuju ke arah kemusnahan hidupnya. Ibarat si ibu dan bapanya sudah merancang untuk memusnahkannya dalam diam-diam.


Semoga Allah jua Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya melindungi si kecil ini sehingga ke hujung usianya. Semoga ia menyedari saat-saat kelahirannya dan bersedia untuk saat-saat pertemuan dengan Penciptanya.

(Jutaan terima kasih buat Pn. Hajah Che Onah, Pn. Hajah Romlah, Pn. Hajah Azizah, Cg. Habibee, Cg. Norizan, Cg. Aminah, Cg. Noraini, Cg. Syabra Syatila, Ustz. Normala, Ustz. Rosnazira di atas kunjungan cikgu-cikgu semua ke rumah kami sempena kelahiran puteri bongsu kami).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan