Rabu, 24 Oktober 2012

Ibadah Korban Berdasarkan Hadis

Banyak hadis yang membicarakan mengenai ibadah korban, antaranya hadis daripada A’isyah, Rasulullah bersabda; “Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari ‘Eidul Adha) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib)

Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?”

Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu Ibrahim.”

Para sahabat bertanya lagi : “Apakah yang kita akan perolehi daripada ibadah Udhiyyah?”

Baginda menjawab : “ Tiap helai bulu (dari binatang yang dikorbankan) kamu akan mendapat satu kebaikan.” 
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

“Barangsiapa yang diberikan kemudahan, sehingga memampukan dia untuk berkorban, akan tetapi dia tidak mahu berkorban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami (masjid) ini.” 
(Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Berpandukan kepada amalan korban yang dilakukan oleh Rasululah SAW yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak dirinya, keluarga dan umatnya, maka para ulamak berpendapat adalah memadai jika seseorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.

Bagi yang mampu digalakkan memilih binatang ternakan yang terbaik, sihat dan gemuk. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik, menyatakan bahawa Rasulullah SAW menyembelih korban dengan dua ekor kibas yang terbaik dengan tangannya sendirinya dengan membaca ‘Bismillah’ dan ‘Bertakbir’ dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibas tersebut.