Rabu, 23 Januari 2013

Panduan Rumahtangga Dari Rasulullah S.A.W



Meraikan minat/kesukaan/kegembiraan pasangan

Diriwayatkan dari An Nasaie, pada suatu hari, Saidina Abu Bakar ra ketika mendatangi rumah anaknya Saidatina ‘Aisyah ra, terlihat ada dua orang anak perempuan sedang bermain rebana dan keduanya menyanyi. Dilihatnya baginda Rasulullah menutup kepalanya dengan kain. Melihat kedatangan Abu Bakar ra, baginda membuka penutup kepala seraya berkata, “Wahai Abu Bakar, biarkan sahaja. Hari ini adalah hari raya.” Dalam riwayat yang lain pula menceritakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w juga pernah menemani Saidatina 'Aisyah r.a menonton satu pertunjukkan walaupun baginda tidak meminatinya.

Namun baginda meraikan keiginan isterinya untuk menonton sambil membiarkan isterinya meletakkan dagu dibahunya. Dengan sabar baginda meraikan keinginan itu tanpa bersungut sebaliknya cuma bertanya, "adakah kamu sudah puas" dan hanya beredar sehingga isterinya mengiyakannya. 

Lihat bagaimana kesabaran baginda Rasulullah s.a.w dalam melayani dan meraikan minat/kegembiraan isteri walaupun baginda tidak meminatinya. Meraikan minat pasangan amat penting untuk diterapkan dalam sesebuah perkahwinan kerana kegagalannya dikhuatiri akan memberi ruang insan lain di luar mengambil alih tanggungjawab pasangan dalam meraikannya, lalu menjadi punca kepada goyahnya sesebuah rumahtangga.

Menyantuni kepelbagaian sifat pasangan

Islam tidak menafikan sifat kemanusiaan, dimana lumrah setiap manusia ada sifat yang positif dan juga negatif. Namun, bagaimana patut seseorang itu menguruskan sifat negatif pasangan?

Diriwayatkan oleh An-Nasaie, pada suatu hari, isteri baginda Rasulullah s.a.w, Ummu Salamah mengirimkan satu piring makanan untuk Rasulullah s.a.w dan sahabatnya. Kemudian, Saidatina ‘Aisyah r.a yang cemburu melihat makanan dari Ummu Salamah datang membawa seketul batu ditangannya lalu memecahkannya. Dengan tersenyum, baginda mempelawa sahabat-sahabat makan makanan yang disediakan sambil mengutip piring yang pecah itu seraya berkata, “ jemputlah makan..ibu kalian sedang cemburu..” Kemudian, setelah sahabat-sahabat pulang, baginda menyerahkan piring dari Ummu Salamah yang pecah itu kepada Saidatina ‘Aisyah r.a manakala piring milik ‘Aisyah r.a pula diserahkan kepada Ummu Salamah bagi menggantikannya.

Lihat bagaimana Rasulullah, seorang pemimpin yang agung, mampu bersabar untuk menyantuni dan cuba memahami sifat cemburu isterinya. Baginda tidak merespons secara negatif terhadap kepelbagaian sifat pasangan, sebaliknya tanpa mempedulikan egonya, baginda mengutip sendiri pinggan yang dipecahkan dihadapan sahabat-sahabatnya sambil cuba mendamaikan keadaan.

Memahami dan peka kepada perasaan pasangan

Diriwayatkan oleh Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda kepada ‘Aisyah r.a, “ Sesungguhnya aku mengetahui bila kamu senang terhadapku, dan bila kamu sedang marah terhadapku. ‘Aisyah ra berkata: Dari mana engkau mengetahuinya wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: Bila kamu senang kepadaku, kamu menjawab, ‘’Tidak, demi Tuhan(nya) Muhammad’’, tapi bila kamu sedang marah kepadaku, kamu berkata, ‘’Tidak, demi Tuhan Ibrahim a.s’’. ‘Aisyah ra menjawab: “Ya, benar begitu”.

Mengawal/bersifat rasional ketika marah:

Sifat Rasulullah yang rasional dalam mengawal marah dapat dilihat ketika berlakunya peristiwa al-ifk ketikamana Saidatina ‘Aisyah r.a telah difitnah. Saidatina ‘Aisyah telah ditimpa sakit akibat kesedihan difitnah oleh golongan munafik. Dalam keadaan begitu, Saidatina ‘Aisyah r.a dapat merasakan kesedihan baginda Rasulullah kerana baginda sudah tidak menunjukkan kemesraan. Namun begitu, walaupun runsing dan sedih dengan peristiwa yang berlaku, baginda tidak sedikit pun berlaku kasar atau memarahi isterinya malah masih menjenguk Saidatina ‘Aisyah r.a untuk mengucapkan salam dan bertanyakan bagaimanakah keadaannya sehinggalah peristiwa itu selesai dengan turunnya wahyu yang membuktikan kebenaran ‘Aisyah r.a.

Berlemah-lembut/berhikmah dalam menegur pasangan

Banyak kisah-kisah yang mempamerkan bagaimana baginda Rasulullah s.a.w sangat berlemah lembut dengan isteri. Diriwayatkan ketikamana Saidina Abu Bakar r.a datang ke rumah baginda Rasulullah s.aw, dilihatnya Saidatina 'Aisyah sedang meninggikan suara kepada baginda Rasulullah s.aw. Lalu Saidina Abu Bakar r.a pun terus menghampiri dan memegang anaknya kerana marah. Melihat keadaan itu, baginda Rasulullah s.a.w terus meleraikan tangan mereka dikhuatiri Saidina Abu Bakar r.a berkasar terhadap isterinya.

Sejurus Saidina Abu Bakar r.a pulang dari rumah baginda Rasulullah s.a.w, baginda pun cuba menjernihkan keadaan, tanpa sedikitpun berkasar dengan Saidatina 'Aisyah, baginda hanya berkata, "'Aisyah, aku sudah meleraikan tanganmu dari ayahmu wahai 'Aisyah.." Lalu mereka pun berbaik semula. Lihat bagaimana berhikmah dan lemah-lembutnya baginda terhadap pasangan. 

Menyebut-nyebut kebaikan untuk memotivasikan pasangan yang dalam kesedihan, atau sebelum memberi teguran kepada pasangan.

Menjadi pendengar yang setia kepada pasangan. 

Selain kisah-kisah di atas, banyak lagi kisah dari rumahtangga baginda Rasulullah s.a.w yang boleh kita teladani. Mari kita sama-sama muhasabah diri, bagaimanakah layanan kita terhadap pasangan kita (bagi yang sudah berkahwin sahaja), yang adakalanya ianya lebih istimewa terhadap insan asing yang bukan mahram dibandingkan dengan pasangan yang halal untuk kita, yang semestinya merupakan insan yang paling  maklum akan baik buruk dan kelemahan kita dan berjasa untuk kita. Teladanilah bagaimana tingginya penghargaan baginda Rasulullah s.a.w terhadap isteri pertamanya Saidatina Khadijah ummul mukminin walaupun sesudah pemergian beliau.
Andai Nabi Muhammad s.a.w itu di hatimu, perbanyakkanlah selawat dan salam ke atas baginda s.a.w. Ayuh berselawat, hidup penuh berkat, di akhirat mudah-mudahan selamat.