Tanggal 26 Mei 2010, suatu sejarah kelahiran seorang insan daripada jutaan insan yang lahir ke dunia ini. Hakikatnya ia hanyalah suatu persinggahan yang sementara. Masa kembalinya sudahpun ditentukan. Rezeki dan senang sengsara hidupnya juga telah di tentukan.
Kehadiran insan yang dilahirkan itu, dalam jasad yang kecil, comel dan montel itu, bukan sahaja menarik perhatian ibu bapa dan kaum keluarganya. Tetapi mereka yang melihatnya juga merasa teruja untuk mengusap, menimang dan mencium pipinya. Segala rasa kasih dan sayang tiba-tiba meresap ke dalam manusia di sekelilingnya. Entahlah mengapa...
Si kecil itu tak pandai beraksi, berlakon, menyanyi..apatah lagi berbicara yang boleh mencuit hati orang dewasa. Dia hanya tahu menangis, kencing dan berak sahaja...kadang-kadang sedikit tersenyum dengan telatah orang-orang di sekelilingnya. Itulah Rahmat Allah yang Maha Penyayang ke atas hamba-hambaNya.
Si Kecil ini tidak terlepas daripada menikmati Rahmat dari Penciptanya. Dibelai, disayangi, dibuai, dikucup ... semua manusia mengalami alam ini. Alam bayi seawal kemunculannya daripada dunia rahim kandungan ibunya.
Kini dia menjadi suatu amanah. Amanah buat kedua ibu bapanya untuk mengendalikannya sementara ia mencapai usia matangnya. Perjalanannya agak lama juga jika dihitung mengikut perhitung dunia. Namun terlalu cepat kalau dinilai melalui neraca Ilahi. Amanah ini wajib dijaga oleh si ibu dan ayahnya. Kalau tidak si kecil itu akan menuju ke arah kemusnahan hidupnya. Ibarat si ibu dan bapanya sudah merancang untuk memusnahkannya dalam diam-diam.
Semoga Allah jua Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya melindungi si kecil ini sehingga ke hujung usianya. Semoga ia menyedari saat-saat kelahirannya dan bersedia untuk saat-saat pertemuan dengan Penciptanya.
(Jutaan terima kasih buat Pn. Hajah Che Onah, Pn. Hajah Romlah, Pn. Hajah Azizah, Cg. Habibee, Cg. Norizan, Cg. Aminah, Cg. Noraini, Cg. Syabra Syatila, Ustz. Normala, Ustz. Rosnazira di atas kunjungan cikgu-cikgu semua ke rumah kami sempena kelahiran puteri bongsu kami).
Mana mungkin sebagai manusia ia bisa mengadap dan berhadapan dengan Tuhannya. Menungkan..manusia itu apa..Tuhan itu apa? Hendak dibezakan, tentu jauh sekali, memang tak boleh dibanding bezakan pun. Tuhan itu Maha Pencipta, Sang Pencipta yang menciptakan insan. Mana mungkin untuk dibanding bezakan.
Tapi..Insan bernama Muhammad itu memang benar-benar telah menemui Penciptanya. Ia berbicara dengan Penciptanya. Ia menerima kurnia yang amat bernilai dari Penciptanya. bahkan ia sendiri telah mendatangkan bukti kepada segolongan manusia di sekelilingnya, bahawa ia memang telah menemui Penciptanya.
Yang tak mahu percaya itu, kenapa? Oo..ia berita luar biasa!! Mengapa pula kalau ianya luar biasa sekali pun. Itu bukankah kerja Tuhannya. Dia sendiri yang menyatakan bahawa ia mengembara menemui Tuhannya itu dengan izin Tuhannya. Allah yang menjemput dirinya. Bagaimana? Allah yang mengutuskan wakilnya untuk menjadi peneman atau penunjuk jalan. Allah yang menyedia kenderaan untuk ke sana. Muhammad itu memang tidak tahu jalan untuk mengembara ke sana. Muhammad tak tahu kenderaan apa yang perlu untuk ia tunggangi untuk ia ke sana.
Tapi..kenapa manusia begitu pantas untuk menolak pengakuannya? Mengapa tidak di renung apa telah di hujahkannya. Bukan Muhammad yang mahu pergi sendiri. Tapi Muhammad dijemput oleh Tuhannya yang sangat menyayanginya. Justeru itu dijemputnya Muhammad itu dengan sepenuh penghormatan oleh segala isi langit.
Yang menjemput itu Tuhannya, Tuhan bagi segala alam jagat ini. Pemandunya makhluk dari bangsa Malaikat yang mulia bernama Jibril a.s. Kenderaannya tiada dapat ditandingi oleh ciptaan jurutera moden kini. Hebat sekali, tiada perlu kepada belanja minyak yang bertong-tong. Lajunya tiada dapat diatasi oleh sebarang kereta lumba F1, bahkan jet yang termoden sekalipun. Namanya pun mengambarkan kehebatannya...itulah Buraq.
Pengembaraan ini amat jauh. Pengembaraan yang tak pernah di dahului oleh sesiapapun makhluk dunia ini. Tiada kompas yang boleh menunjukkan arah yang tepat untuk sana. Apatah lagi untuk menghitung anggaran kos perbelanjaannya. Bahkan, untuk apa dihitung semuanya itu...sekadar membazirkan masa sahaja.
Kalau Sang Pencipta itu izinkan, maka mudah sahaja untuk sampai. Jarak yang jauh itu bukanlah suatu masalah besar. Hanya masalahnya ialah diri insan itu sendiri. Mampukah insan itu menarik perhatian Penciptanya supaya menyayanginya, menyukainya lantas sudi untuk menjemput si insan itu kepangkuan Penciptanya.
Adakah insan sudah mencapai kelayakan yang perlu untuk kepangkuan Penciptanya di alam ghaib yang Maha Tinggi lagi Suci itu? Alam itu tak sama dengan alam ini. Alam itu begitu syahdu, tenang dan damai sekali. Alam itu jauh bersih, suci, dan kilatnya dari alam ini. Alam itu begitu besar daripada alam galaksi ini..entahlah berapa besarnya. Dia sahaja yang Maha tahu.
Besarnya alam itu mengambarkan besarnya kekuasaanNya. Apatahlah sangat dibandingkan dengan bumi yang begitu jauh kecilnya. Kecilnya bumi ibarat kecilnya kuman di mata manusia. Kalau demikianlah kerdilnya bumi, maka gambarkanlah betapa halusnya manusia.
Oleh yang demikian maka bersujud dan bersimpuhlah Muhammad itu dengan penuh kesopanan dipangkuan Tuhannya. Menyedari ia betapa Agungnya Tuhannya itu, betapa besar kerajaan yang dimilikiNya. Lemah longlai segala kuasa dan kerajaan untuk menandingiNya.
"Wahai diri-diri yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan Ia redho kepada mu dan engkau redho kepadaNya".
Berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan melancong, makan angin, bersukan, merekaseni melukis dan sebagainya.
Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa itu dengan beribadat seperti membaca Al-Qur’an, berzikir, bersembahyang dan sebagainya.
Tanpa ketenangan jiwa manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti rungsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.
Dalam mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syarak supaya ia jangan terbabas. Ketenangan jika dengan melalui permainan, bersuka ria, dengan lagu-lagu, muzik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya hanyalah bersifat sementara, bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya.
Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta benda, anak pinak, bermain, makan minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tafsirnya :
“Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan.”
(Surah Al-An’am: 32)
FirmanNya lagi yang tafsirnya :
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”
(Surah Al-Ruum: 21)
Dengan adanya ketenangan jiwa akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah dan melakukan ibadat kepadaNya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah untuk sentiasa menyembah Allah Subahanahu wa Ta’ala. Hal ini ditegaskan oleh Allah Subahanahu wa Ta’ala dalam Al-Qur’an yang tafsirnya :
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”�
(Surah Al-Zariat: 56)
Sebagai orang Islam kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti dalam mencari hiburan. Al-Qur’an ada megingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tafsirnya :
“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”
(Surah Luqman: 6)
Sifat suka kepada hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara paradigma orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tafsirnya :
“(Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya).”
(Surah Al-A’raf: 51)
Orang bukan Islam itu lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak semata-mata pada nafsu kerana dunia adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang digambarkan oleh Al-Qur’an yang tafsirnya :
“Dan tentulah mereka akan berkata pula: Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati.”
(Surah Al-An’am: 29)
Sifat hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempesonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan mungkar yang terang-terang menentang kehendak hukum syarak. Apa yang lebih menyedihkan hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur mungkar dan maksiat itu. Mereka turut terkeliru dengan pujuk rayu orang-orang yang bukan Islam yang mempamerkan hiburan-hiburan palsu sebagai jalan untuk menenangkan jiwa. Namun ketenangan itu cuma seketika, selepas itu kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan fantasi, angan-angan dan khayalan semata.
Inilah persepsi yang difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang. Sedangkan maksud hiburan itu sendiri lebih luas .